2011 I.E Cyber Convention was officially launched by Y.B. Senator Dato' IR Donald Lim. LIVE DVD of I.E Cyber Convention available for sale. 

MLM Asean 500 Inc


Makanan Tidak Seimbang Punca Kanser Kolorektal

SIKAP tunggu dan lihat, nanti dulu dan sebagainya bagaikan menjadi amalan oleh sesetengah orang terutama dalam masyarakat Melayu.

Makanan Tidak Seimbang


                           
Punca Kanser Kolorektal

 

SIKAP tunggu dan lihat, nanti dulu dan sebagainya bagaikan menjadi amalan oleh sesetengah orang terutama dalam masyarakat Melayu. Bukan tidak peka, tetapi sengaja memandang remeh pada perubahan yang berlaku pada diri seperti keluar darah ketika buang air besar, cirit-birit, sembelit dan sebagainya.

 

Gejala-gejala tersebut adalah sebahagian daripada simptom kanser kolorektal atau kanser usus besar. Kanser ini boleh dihidapi oleh kaum lelaki mahupun wanita.

 

Kajian menunjukkan bahawa selain kanser payu dara, kanser paru-paru, kanser juga menyerang tempat-tempat lain seperti mulut, saluran pemakanan (esofagus), usus besar-usus kecil, dubur dan beberapa tempat lain.

 

Menurut Pakar Perunding Pembedahan, Kuantan Specialist Hospital, Dr. Huzaimi Yaakob, kanser bahagian usus besar juga dikenaii sebagai kanser kolon dan rektum. Kanser ini melibatkan pertumbuhan sel-sel kanser secara tidak terkawal di kolon dan rektum.

 

"Kanser kolorektal adalah jenis kanser yang kedua kerap menyerang lelaki dan wanita. Di Malaysia lebih kurang 3,600 kes baru dikesan setiap tahun. la juga antara penyebab ketiga kematian di kalangan mereka yang menghidap kanser. Kebanyakan pesakit di negara kita terdiri dari kalangan masyarakat Cina dan Melayu. Bagaimanapun sehingga kini tidak diketahui apakah punca utama yang menyebabkan terjadinya penyakit ini," katanya dalam forum kesihatan 'Sihat Sepanjang Hayat' yang diadakan di hospital tersebut baru-baru ini.

 

Jelas beliau, terdapat beberapa faktor yang mendedahkan seseorang itu mendapat penyakit tersebut. Antaranya ialah peningkatan usia. Ini kerana kebanyakan pesakit di kalangan mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

 

Selain itu sejarah keluarga, wanita yang pernah mendapat kanser payu-dara, uterus atau ovari dan mereka yang mendapat kanser kolorektal berkemungkinan boleh mendapatnya untuk kali kedua. Mereka yang menghidapi penyakit Familial polyposis coli, ulcerative colitis dan crohn's disease juga berisiko tinggi.

 

"Ramai yang tidak mengetahui tentang penyakit ini. Bagaimanapun mereka yang mempunyai sejarah keluarga seperti ibu bapa atau adik-beradik yang penghidap barah, adalah lebih baik mereka membuat pemeriksaan ketika berusia di bawah 40-an.

 

"Jangan amalkan diet yang tidak seimbang. Pengambilan makanan yang berlemak, kalori terlalu tinggi dan kurang mengambil fiber adalah tidak baik. Perbanyakkan minum air mineral atau air kosong dan makan banyak sayur-sayuran dapat membantu penghadaman dan melindungi kita daripada dijangkiti kanser usus," jelasnya lagi.

 

Tambah Dr. Huzaimi, jika usus mengandungi banyak asid 'bile' ia mungkin menghasilkan karsinogen yang mana menggalakkan ketumbuhan. Begitu juga jika ada ketuat (polip) di dalam usus, dalam tempoh yang lama ia akan menjadi kanser apabila ketuat tadi membesar dan menembusi dinding usus.

 

"Ada juga di antara mereka yang takut untuk berjumpa doktor mencari jalan alternatif. Sikap tersebut mengundang padah apabila penyakit yang dihadapi kian merebak hingga ke tahap kritikal dan sukar diubati. Perubatan alternatif masih belum terbukti berkesan menyembuhkan penyakit kanser kolorektal," ujar beliau.

 

Beliau menjelaskan tumor atau kanser kolorektal terdapat dalam empat peringkat. Peringkat pertama kanser ini berbentuk kecil dan melekat di organ atau tisu di mana ia bermula. Pada peringkat ini peluang untuk sembuh lebih cerah jika dirawat secepat mungkin.

 

"Peringkat kedua, bentuk tumor akan lebih besar dan merebak menembusi dinding usus. Peringkat ketiga, tumor telah merebak ke tisu yang berdekatan dan noda limpa. Manakala peringkat keempat atau peringkat akhir, kanser tersebut telah merebak lebih jauh. Selalunya ia melibatkan organ-organ atau bahagian anggota badan yang lain seperti hati, tulang, paru-paru, otak dan sebagainya," jelas beliau lagi.

 

Beliau menjelaskan, simptom-simptom pesakit dijangkiti penyakit ini bergantung kepada tempat sel kanser tersebut tumbuh kerana setiap kedudukan sel memberi simptom yang berbeza. Antara simptomnya seperti berlaku pendarahan, muka pucat, penurunan berat badan, hilang selera makan, keluar darah dan lendir ketika membuang air besar serta tabiat membuang air besar yang tidak normal. Namun penghidap kanser usus tidak berasa sakit pada tahap awal. Kesakitan cuma dirasai setelah barah membiak hingga ke saraf atau usus sudah tersumbat, oleh itu kebanyakan pesakit datang berjumpa doktor pada tahap yang agak lewat.

 

"Lakukan pemeriksaan segera jika terdapat simptom-simpton tersebut Elakkan rasa malu demi memastikan kesihatan diri. Jika dikesan di peringkat awal, ia boleh diubati dan pesakit akan sembuh melalui pembedahan. Apabila sel kanser sudah memasuki saluran darah ia boleh menyebabkan sel tersebut merebak ke organ-organ lain. Jika tidak dikawal, pesakit berisiko tinggi untuk mendapat rebakan barah," katanya lagi.

 

Dr. Huzaimi yang cukup berpengalaman dalam bidang berkenaan menyatakan, terdapat beberapa cara untuk mengetahui penyakit ini di peringkat awal seperti saringan (screening) seperti ujian najis dan darah. Bagaimanapun cara ini tidak dapat mengesan barah usus dengan tepat. Colonoscopy iaitu dengan meneropong ke dalam usus adalah cara terbaik untuk mengesan penyakit ini.

 

Katanya, ketika prosedur ini dijalankan, pesakit berada dalam keadaan separuh sedar dan tidak berasa sakit. Hospital Swasta mengenakan kos hampir RM1,000 untuk pemeriksaan Colonoscopy dan dianggap berbaloi kerana pemeriksaan tersebut hanya perlu dilakukan untuk tempoh tiga ke lima tahun sekali untuk mereka yang berisiko agak rendah.

 

Berdasarkan pemeriksaan, doktor akan mengetahui tahap penyakit yang dihadapi oleh pesakit. Selepas itu barulah rawatan seterusnya dimulakan. Rawatan yang disarankan adalah pembedahan diikuti kemoterapi dan radio terapi jika perlu.

 

"Kesemua penyakit kanser kolorektal memerlukan pembedahan. Kanser kotorektal tidak dapat disembuhkan dengan cara mengambil ubat sahaja. Setakat ini pembedahan adalah rawatan yang terbaik," tegasnya lagi.

 

Dr. Huzaimi berkata, pemakanan yang sihat dan penjagaan kesihatan yang betul adalah amalan yang baik untuk mencegah atau .mengesan penyakit di peringkat awal.

 

Sumber: i-Sihat April 2008

 

 

Trainer Profiles/讲师简介
Numbers of registered Power Coach: 12